Terbaring pucat, anak dalam pelukan

KUALA TERENGGANU: Timbalan Ketua Cawangan UMNO Kuala Ibai meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas, ketika menyelamatkan anak bongsunya dalam kebakaran rumahnya di Kampung Kuala Ibai, di sini, pagi tadi.

Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45, ditemui tidak sedarkan diri di halaman rumah sambil memeluk anaknya, Muhammad Aqil Harith, 3, oleh anak saudaranya kira-kira jam 8.40 pagi.

Anak saudara mangsa, Ahmad Syahir Azizi Ahmad Zulfa, 18, baru tiba di rumah neneknya bersebelahan rumah mangsa dan melihat kepulan asap yang disangkanya orang membakar sampah.

Selang beberapa minit kemudian, beliau terdengar bunyi letupan kecil dan cermin pecah dari rumah mangsa sebelum bergegas untuk melihat apa yang berlaku.

“Ketika meninjau, saya lihat Acik (nama panggilan mangsa) terbaring di halaman rumah manakala anak bongsunya dipeluk di dada.

“Saya memeriksa keadaan Acik, tapi tiada tindak balas. Melihat mukanya pucat, kami terus hubungi bantuan kecemasan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketika kebakaran membabitkan kediaman rumah berkembar dua tingkat itu, isteri mangsa, Tengku Mastura Tengku Ahmad, 30-an, sudah keluar bekerja manakala tiga lagi anak mereka berada di sekolah.

Ahmad Syahir berkata, anak bongsu mangsa ketika ditemui hanya menangis dalam pelukan bapanya namun tidak mengalami kecederaan.

“Acik disahkan meninggal dunia sebaik pasukan perubatan tiba untuk memberi rawatan kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor, berkata pihaknya menerima panggilan jam 8.45 pagi sebelum 18 anggota bersama dua jentera dihantar ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, api marak membakar kediaman ketika pasukan penyelamat tiba.

“Kita mengambil 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – BH

Related Posts