Siapa Penyangak? Abdul Hadi Jangan Baling Batu Sembunyi Tangan, Kata Pemimpin PAN

SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang diingat supaya tidak bersikap baling batu sembunyi tangan susulan dakwaannya bahawa terdapat penyangak dalam Pakatan Harapan (PH).

Justeru Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir mempersoalkan siapakah yang dimaksudkan sebagai penyangak dalam PH seperti yang didakwa Abdul Hadi.

“Dia sebut tak penyangak itu siapa? Saya nak tanya siapa penyangak yang dimaksudkan itu?

“Oleh kerana kita tak tahu susah kita nak berikan jawapan yang pasti dan sikap tidak mahu bertanggungjawab atau sikap baling batu sembunyi tangan bukanlah sikap yang baik bagi seorang pemimpin politik di peringkat nasional,” katanya kepada Antarapos.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa PAS tidak boleh memberi harapan kepada PH kerana terdapat penyangak yang bersekongkol dengan punca masalah negara di dalam parti itu.

Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak menyebut secara spesifik pemimpin yang dimaksudkan.

Mengulas lanjut, Mohd Anuar berkata dakwaan Abdul Hadi tanpa menamakan siapakah individu yang dimaksudkan itu disifatkan beliau sebagai tidak adil.

“Jadi untuk menuduh Pakatan Harapan ada pemimpin yang penyangak seperti itu dengan tidak menamakannya saya rasa sangat tidak adillah.

“Tapi untuk menuduh dalam Pakatan Harapan siapa dia orang yang penyangak itu? Jadi saya rasa dukacitalah tuduhan yang sebegitu,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan Abdul Hadi supaya jangan ‘melepaskan tembakan rambang’ tanpa sebarang bukti.

“Kalau dia tuduh salah seorang pemimpin dalam Pakatan Harapan bermula daripada Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umumnya sampai ke bawah, namakan siapa dimaksudkan penyangak itu lainlah.

“Kita boleh minta dia pembuktian tapi main tembak rambang sahaja tak adillah,” katanya. – AntaraPos

Related Posts