‘Serang polis perkara serius’

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak tegas terhadap warga asing yang cuba mencabar anggotanya ketika menjalankan tugas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata tindakan menyerang anggota polis adalah tindakan tidak wajar.

“Kita memandang serius insiden anggota diserang warga asing ketika menjalankan pemeriksaan di premis kediaman pekerja terbabit.

“Kita tidak akan berkompromi dan kejadian ini menjadi petunjuk polis akan sentiasa tegas dalam menjalankan tanggungjawab.

“Insiden seperti ini tidak melemahkan semangat anggota polis dalam usaha membasmi jenayah,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mazlan berkata, siasatan lanjut giat dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Polis menerima maklumat mengenai kegiatan perjudian di bahagian depan rumah didiami pekerja kontrak.

“Kita sedang siasat apa yang berlaku malam itu, mungkin ada salah faham membabitkan mereka, kita belum pasti.

“Pada masa yang sama, kita akan pantau aktiviti membabitkan pekerja asing di sini, selain menjalankan operasi bagi memastikan mereka tidak akan bertindak berani dan berlebih-lebih,” katanya.

Kelmarin, seramai 30 pekerja warga asing ditahan selepas cuba menyerang sekumpulan anggota polis yang melakukan pemeriksaan di Jalan Abraham off Jalan Imbi, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) polis sedang melakukan pemeriksaan susulan maklumat berhubung kegiatan perjudian di hadapan beberapa unit kediaman didiami ratusan pekerja kontrak warga asing.

Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, 20 hingga 30 orang lelaki warga asing berkenaan cuba menyerang anggota polis.

Menyedari ancaman yang dihadapi, anggota polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke udara bagi mengawal keadaan.

Daripada 68 yang ditahan, lapan pekerja warga asing, termasuk dua wanita direman selama tiga hari sehingga esok bagi siasatan lanjut kes.

Semua suspek mempunyai dokumen sah.

Sementara itu, ketika berucap pada perhimpunan berkenaan, Mazlan menggariskan lapan perkara yang diberikan fokus pegawai dan anggota polis kontinjen Kuala Lumpur.

Antaranya membanteras jenayah ragut, pengedaran dadah, perjudian, sindiket penipuan ‘Macau Scam’ dan ‘Love Scam’ serta pinjaman haram dan masalah gangsterisme.

Katanya, keselamatan awam daripada ancaman keganasan militan Daesh serta kegiatan samseng jalanan dan parkir haram turut diberi perhatian.

“Kita turut memberi fokus kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan memastikan semua pegawai dan anggota memahami tugas serta perjalanan ketika pilihan raya berlangsung,” katanya. – BH

Related Posts