Sedia kembalikan hak Sarawak – Najib | My Malaysian Post

Sedia kembalikan hak Sarawak – Najib

KUCHING: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan memastikan segala hak negeri ini, yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dikembalikan.

Beliau menjelaskan mana-mana hak Sarawak yang terambil, sama ada sengaja atau tidak disengajakan sebelum ini, sudah pasti dikembalikan untuk masa depan negeri dan rakyatnya.

“Saya sanggup kembalikan hak-hak Sarawak… tidak perlu kita ambil hak orang lain. Kita satu keluarga…. biar kita kekal dalam satu keluarga besar Barisan Nasional (BN) dan sebuah negara bernama Malaysia.

“Atas sebab sama juga, kita tidak berdepan apa-apa masalah untuk berunding dalam perkara ini kerana kedua pihak, baik Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri, kita dalam satu keluarga sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.

NAJIB bersama Abang Johari merasmikan Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Parti PBB Ke-14, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Najib yang juga Pengerusi BN Pusat, berkata proses perundingan itu masih berlangsung di antaranya dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, meneruskan usaha dirintis oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

“Kita yakin usaha ini dapat memberi kesan cukup signifikan terhadap kemajuan Sarawak dan rakyatnya. Jika orang Sarawak senyum, kita pun akan gembira.

“Bersama Datuk Amar Abang Johari (Abang Openg), kita akan terus berunding dengan baik dan mencari mekanisme penyelesaian yang bersesuaian,” katanya.

Najib berkata, kepemimpinannya cukup terbuka dalam perkara itu berbanding seorang lagi pemimpin yang mentadbir Malaysia selama 22 tahun sebelum ini.

“Ketika zaman pemimpin itu dulu, kalau kita bercakap mengenai MA63 sudah pasti akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Itu sebabnya Sarawak terus ketinggalan ketika negara ini di bawah kepemimpinannya,” katanya.

Difahamkan, isu hak dan keistimewaan Sarawak dalam MA63 antara usul utama dibentangkan sepanjang perhimpunan kali ini, selain ekonomi digital dan pendidikan rakyat.

Najib ketika mengulas lanjut, berkata di bawah kepemimpinannya, beliau sentiasa memastikan tidak berlaku jurang pembangunan di negara ini, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar, seiring dengan kemajuan pesat dikecapi Malaysia.

“Sebagai Perdana Menteri, menjadi komitmen saya memastikan tiada jurang pembangunan di Malaysia, malah seiring dengan perkembangan semasa, tidak sepatutnya wujud jurang pembangunan di negara kita.

“Justeru, kita memberi penumpuan kepada agenda pemerkasaan pembangunan di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan wujud keseimbangan dengan pembangunan di negeri lain di Semenanjung,” katanya.

NAJIB bersama Abang Johari pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Parti PBB Ke-14, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Katanya, penumpuan diberikan kepada penyediaan infrastruktur perhubungan seperti pembinaan jambatan dan jalan raya bagi mewujudkan akses lebih baik kepada sosio-ekonomi rakyat.

Malah, usaha itu termasuk Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang sedang dalam pembinaan, malah beliau berbangga kerana dapat merealisasikan impian rakyat negeri ini, begitu juga Sabah untuk menikmati kemudahan yang dinantikan sejak sekian lama. – BH

Related Posts