Rezeki pemancing selepas menuai

Musim menuai di utara tanah air merupakan saat dinantikan petani. Masa itulah mereka berehat seketika selepas memperoleh hasil sepanjang musim menanam padi.

Selain petani, kaki pancing turut menantikan musim tersebut kerana inilah masanya mereka mempamerkan kemahiran menangkap ikan.

Kawasan sawah akan dipenuhi pemancing yang menjadikan ikan sepat, puyu dan haruan sebagai sasaran.

Biasanya hasil tangkapan dimasak untuk hidangan keluarga, selain dijadikan pekasam atau ikan kering.

Banjir di Kedah baru-baru ini menyebabkan limpahan air sungai mengalir ke bendang. Berikutan itu, ramai pemancing berkumpul untuk memburu spesies ikan yang menjadi kegilaan iaitu ikan haruan.

Kebanyakan pemancing menggunakan umpan tiruan diperbuat daripada getah.

Umpan itu berbentuk seakan-akan seekor katak bagi menarik perhatian ikan.

Namun begitu, terdapat segelintir pemancing gemar menggunakan katak hidup sebagai umpan. Difahamkan umpan katak hidup lebih mudah menarik perhatian ikan haruan kerana bau katak tersebut.

Di samping itu, ikan haruan juga dikenali sebagai spesies yang agresif. Ia akan mengejar sebarang bentuk pergerakan seumpama makanannya dan bagi pemancing, ia memberikan daya lawan serta lenturan rod yang pasti menjadi igauan.

Biarpun begitu, tarikan juga dibantu dengan kilauan sudu yang digunakan untuk memegang umpan tersebut bersama mata kail.

Sudu itu mudah didapati di pasaran atau boleh direka sendiri menggunakan pelbagai bahan mudah lentur.

Menurut seorang pemancing, Mohd. Isa Abu Bakar, 32, yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Cha’ dalam kalangan rakan-rakannya, dia lebih gemar menggunakan umpan hidup berbanding umpan tiruan.

Katanya, umpan tersebut mempunyai potensi tinggi mencuri perhatian ikan haruan dan lebih menarik, umpan tersebut dibuat sendiri.

Mohd. Isa memberitahu, umpan katak hidup akan diselitkan pada sudu yang diperbuat daripada duit syiling 50 sen. Duit berkenaan diketuk sehingga nipis dan dibentuk semula untuk memudahkan umpan diselit bersama mata kail.

“Berat duit syiling tersebut memudahkannya dibaling untuk mendapatkan jarak yang jauh, tahan karat dan tidak mudah patah,” katanya yang berasal dari Alor Janggus.

“Ada pemancing menjadikan tangkapan sebagai juadah, selain menjual ikan tersebut kepada peraih tempatan yang kemudian dijual pula di pekan sehari dengan harga RM15 hingga RM20 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, seorang petani, Zakaria Shaari, 39, berkata, aktiviti memancing memberi peluang kepadanya menambah pendapatan.

“Ikan yang dikail akan diproses menjadi ikan kering,” katanya sambil memberitahu, ikan haruan mempunyai khasiat penyembuh luka serta pelbagai elemen baik untuk kesihatan.

“Ikan yang telah diproses boleh dijual pada harga RM40 sekilogram dan harga akan meningkat jika bekalan berkurangan,” katanya.

Sumber : Utusan Online

Related Posts