Nuan Nuan balik China esok

KUALA LUMPUR: Anak panda gergasi, Nuan Nuan, yang ditempatkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) Zoo Negara, selama 27 bulan, akan dihantar pulang ke Pangkalan Panda Dujiangyan, Sichuan, China, esok.

Penghantaran itu sebagai memenuhi Perjanjian Program Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi, yang ditandatangani bersama China pada 15 Jun 2012, memperuntukkan anak yang dilahirkan pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang, dihantar ke negara asalnya apabila berusia dua tahun.

Pengarah Zoologi, Veteriner dan GPCC Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli, berkata persediaan penghantaran itu dilakukan sejak tiga bulan lalu dengan mengasingkan kandang antara anak panda dan ibunya.

“Hanya kira-kira sebulan ini, anak panda berjaya dipisahkan sepenuhnya. Sebelum ini, prosesnya sukar berikutan anak panda itu tercari-cari ibunya atau terdengar bunyi ibunya meskipun ketiga-tiganya ditempatkan di kandang berasingan.

“Lama kelamaan, anak panda ini seakan mengerti dan tidak lagi menghiraukan ibunya malah mulai lupa dan boleh menyesuaikan diri sendiri,” katanya pada BH yang meninjau persiapan kakitangan GPCC untuk penghantaran pulang Nuan Nuan.

Nuan Nuan dilahirkan 18 Ogos 2015 dan ketika ini, beratnya sudah mencecah 90 kilogram (kg).

Mat Naim berkata, pihaknya menjaga Nuan Nuan umpama seorang bayi.

” Penjagaannya memerlukan kesabaran dan Nuan Nuan dipantau setiap masa sebab emosinya tidak menentu, malah agresif jika berasa terancam.

“Kami sedih kerana terpaksa merelakannya pergi, tetapi pada masa sama teruja kerana Malaysia berjaya menyumbang anak panda seperti Jepun, Thailand dan Amerika Syarikat,” katanya yang akan mengiringi Nuan Nuan bersama seorang pegawai veterinar.

Beliau berkata, ujian darah Nuan Nuan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan anak panda itu selamat sepanjang penerbangan yang mengambil masa empat jam 30 minit.

Nuan Nuan juga akan dikuarantin selama sebulan setibanya di China sebelum ia dipamerkan kepada orang ramai mulai 15 Disember depan. – BH

Related Posts