Norhana juruterbang helikopter wanita pertama | My Malaysian Post

Norhana juruterbang helikopter wanita pertama

KUALA LUMPUR: Sejak kecil Leftenan Kolonel Norhana Abd Manaf mengimpikan kerjaya juruterbang TUDM, apatah lagi tempatnya membesar berdekatan Pusat Latihan Belia Dusun Tua, Hulu Langat medan pasukan tentera udara menjalani latihan.

Impian itu tercapai dan lebih manis apabila Pegawai Staf Gred Satu Rancang Pegawai, Markas Tentera Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diiktiraf juruterbang helikopter wanita pertama di negara ini.

Pencapaian itu juga sekali gus melakar pencapaian membanggakan Norhana sebagai Instruktor Helikopter Berkelayakan (QHI).

Ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi. Latar belakang bapa beliau yang pernah berkhidmat dengan Tentera British menambah keterujaannya terhadap pesawat dan helikopter, sekali gus membulatkan tekad berjaya dalam profesion itu.

Cabar kemampuan diri

“Lantas saya mencabar kemampuan diri memohon memasuki Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi Skim Pegawai Graduan kira-kira 23 tahun lalu sekali gus menjadi titik tolak memasuki pasukan sehingga kini.

“Saya adalah kumpulan ketiga juruterbang wanita yang memasuki TUDM pada 1995, mengikuti latihan asas ketenteraan enam bulan iaitu proses asas kemasukan dalam perkhidmatan tentera,” katanya.

Beliau ditemui BH di pejabatnya, di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Norhana berkata, wanita diberi peluang adil menjadi sebahagian juruterbang di dalam TUDM.

NORHANA mencabar diri memohon memasuki TUDM menerusi Skim Pegawai Graduan. – Foto Salhani Ibrahim

“Pada ketika itu, sesi pengambilannya membabitkan banyak proses dan temu duga, latihan fizikal, pemeriksaan perubatan yang menyeluruh, ujian kecenderungan udara (aptitud) selepas berjaya, baru boleh memasuki bidang penerbangan,” katanya yang menyertai TUDM pada 10 Januari 1995.

Meskipun tidak bertugas sebagai juruterbang, Norhana kini menggalas tanggungjawab melatih juruterbang di samping bidang tugasnya lebih kepada peringkat pengurusan iaitu taktikal, operasi dan strategik.

“Selain sebagai jurulatih penerbangan iaitu QHI yang ditauliahkan pada 2008, bidang tugas saya turut berkaitan audit membabitkan semua pangkalan TUDM di seluruh negara.

“Bidang ini juga menjadikan saya lebih versatil termasuk diberi kepercayaan mengulas pertunjukan udara di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 dan acara di negara lain,” katanya.

Beliau mengikuti kursus penerbangan di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Alor Setar, Kedah dan menerima sayap penerbangan dari pusat latihan berkenaan selepas menerbangkan pesawat Helikopter Aloutte III selama 54 jam.

Seterusnya, beliau menjalani latihan penerbangan simulator di Norway dan United Kingdom (UK). Norhana memperoleh pengalaman dengan menerbangkan helikopter Aloutte III pada 1997 dan kemudian beralih kepada helikopter Nuri.

Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, peredaran masa banyak memberi peluang kepada wanita negara ini menjadi lebih dinamik dan menyertai bidang yang didominasi lelaki.

NORHANA dapat kepercayaan latih anggota, ulas pertunjukan udara. – Foto Salhani Ibrahim

Tiada pilih kasih

Katanya, memasuki bidang ketenteraan tiada pengecualian, semuanya dilalui tanpa pilih kasih, bentuk latihan, kelayakan akademik, kecergasan fizikal dan melalui cabaran sama malah memperkuatkan iltizam terus berkhidmat.

“Dua tahun bertugas sebagai juruterbang, helikopter yang membawa doktor udara mengalami kerosakan di kampung Orang Asli, disebabkan itu saya perlu bermalam sementara menunggu peralatan gantian membaik pulih tiba.

“Pengalaman sebegitu menguatkan semangat untuk memberikan yang terbaik, kerana apapun cabaran, ia adalah pada diri sendiri dan faktor itu juga meletakkan kita seiring lelaki,” katanya.

Katanya, pasukan TUDM memikul tanggungjawab mengawal ruang udara negara dan memberi bantuan Mencari dan Menyelamat (SAR), penerbangan ihsan, platform kepada jabatan lain menghantar bantuan kemanusiaan ke lokasi bencana, banjir serta pedalaman yang tidak boleh dilalui kenderaan darat.

Menceritakan pengalamannya sebagai juruterbang, peranan itu termasuk penerbangan ihsan membawa pesakit dari kawasan pedalaman yang juga adalah penugasan membabitkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), orang asli dan penerbangan membawa orang kenamaan.

“Jarak dan masa penerbangan, kerjasama dengan anak kapal dan keadaan cuaca memainkan peranan penting. Jika berdepan cuaca buruk, kita perlu mematuhi pelan alternatif mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Ketika latihan dan persiapan diri sebelum membuat penerbangan sulung, saya mengikuti latihan dan ujian selama enam bulan sebelum diberi kelulusan menerbangkan pesawat atau helikopter.

“Di sinilah, kekuatan mental dan fizikal serta kecekalan juruterbang teruji dalam menghadapi segala cabaran,” katanya.

Malah, persiapan operasi dan diri juga haruslah mempunyai kesinambungan kerana juruterbang perlu tahu mengenai penyelenggaraan pesawat dan mesti diperiksa sendiri.

Biarpun ramai yang meluahkan perasaan bimbang risiko kerjayanya, namun beliau menjadikan setiap teguran dan nasihat itu sebagai pembakar semangat untuknya meneruskan kerjaya.

“Paling penting kita melakukan yang terbaik, yakin kemampuan diri dan status wanita bukan penghalang dan perlu bekerja lebih keras untuk setara dengan rakan setugas lelaki,” katanya.

NORHANA diiktiraf juruterbang helikopter wanita pertama di negara ini. – Foto Salhani Ibrahim

PROFIL:
Leftenan Kolonel Norhana Abd Manaf TUDM

Umur: 43

Asal: Hulu Langat, Selangor

Bilangan adik beradik: 13 daripada 15 adik beradik

Pendidikan: – Diploma Sains Kesetiausahaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kuantan.

– Diploma eksekutif Pengajian Strategi dan Pertahanan di Maktab Turus Angkatan Tentera

Pencapaian: – Juruterbang helikopter wanita pertama (1997)

– Instruktor Helikopter Berkelayakan (QHI) – 2008

Related Posts