Longhi Kecewa Tuduhan Gomez

Selepas Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards menafikan dakwaan bekas jurulatihnya, Mario Gomez kini penolong ketua jurulatih pasukan itu, Raul Longhi tampil untuk melontarkan kekecewaannya terhadap dakwaan yang dilihat tidak berasas itu.

Malah, Longhi turut menyifatkan tindakan dilakukan Gomez itu sebagai satu usaha untuk menjatuhkan skuad Harimau Selatan dengan tuduhan palsu dan tidak sepatutnya berlaku apabila menentang kelab yang banyak memberi manfaat kepada mereka sebelum ini.

“Saya sangat kecewa apabila membaca mengenai Gomez mendakwa beliau masih mempunyai tunggakan gaji belum dijelaskan oleh JDT. Kelab ini sangat telus dan yang paling penting tidak pernah lewat membayar gaji dan juga bonus kami.

“JDT salah satu daripada kelab paling profesional pernah saya bekerja sepanjang kerjaya saya. Inilah sebabnya saya memilih untuk kekal di kelab ini meskipun selepas pemergian Mario.

“Perjanjian saya bersama Gomez dan JDT adalah gaji saya dibayar oleh Gomez serta perkara ini berterusan sejak saya menyertai kelab ini pada tahun 2015 yang pertama kalinya dibayar olehnya secara langsung.

“Kemudiannya oleh setiausaha kelab selepas Gomez memilih dan meminta mengaturkannya agar ia lebih mudah,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook JOHOR Southern Tigers, semalam, lapor Metro.

Terdahulu, Edwards menafikan dakwaan pengendali dari Argentina itu yang menuntut supaya bekas majikannya itu membayar gaji dan menjelaskan apa yang diperkatakan Gomez adalah tidak benar.

Dalam masa sama, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan sudah bersedia untuk berdepan dengan tindakan mahkamah yang akan difailkan bekas pengendali dari Argentina berkenaan.

Berdasarkan kenyataan disiarkan melalui laman sosial Facebook JOHOR Southern Tigers, semalam, Tunku Ismail menjelaskan tidak logik JDT tidak mampu membayar AS$60,000 (RM243,784) seperti yang dituntut Gomez. – suaraTV

Related Posts