Larian ATM Half Marathon 
Libat Tentera dan Awam

Gaya hidup sihat semakin mendapat tempat di hati penduduk di negara ini. Maka tidak hairanlah semakin banyak aktiviti dan pertandingan larian yang dianjurkan oleh pelbagai organisasi, syarikat mahupun individu khusus bagi mereka yang menitikberatkan soal kesihatan di dalam kehidupan seharian.

Bersandarkan situasi positif ini, Larian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) HalfMarathon bakal dianjurkan pada 12 November depan sebagai inisiatif memupuk rakyat Malaysia tentang soal kesihatan selain memeriahkan lagi sukan larian di negara ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MUSE Group Asia, Riduwan Matni, yang juga penganjur acara larian ini, larian tersebut julung kali diadakan di Malaysia.

“Larian ATM HalfMarathon telah dipromosikan sejak pertengahan tahun ini dan mula dibuka untuk penyertaan pada 22 Ogos lalu, manakala tarikh tutup penyertaan dibuat pada 1 Oktober. Kami menerima lapan ribu penyertaan yang terdiri daripada anggota tentera dan selebihnya adalah orang awam.

“Seramai 11,000 peserta bakal dilepaskan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 12 November ini. Walaupun penyertaan larian ini telah ditutup, kami masih lagi menerima pertanyaan daripada orang ramai yang berminat untuk menyertai larian ini,” jelas Riduwan mengenai sambutan orang ramai terhadap larian anjuran syarikatnya yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak ATM.

Menurut Riduwan lagi, sebanyak tiga kategori utama di pertandingkan iaitu kategori 21 kilometer, 10 kilometer dan lima kilometer.

Daripada tiga kategori utama ini, terdapat sub-kategori yang lain iaitu kategori terbuka, veteran dan pakaian terbaik.

Setiap kategori menawarkan hadiah tempat pertama hingga tempat kelima. Pemenang tempat pertama bakal menerima wang tunai RM7,000, tempat kedua, RM5,000t, tempat ketiga- RM4,000

“Kami menyediakan beberapa sub-kategori agar larian ini memberi peluang sama rata kepada para peserta untuk berlari mengikut kemampuan masing-masing.

Sebagai contoh kategori veteran, ia diadakan agar pelari yang termasuk dalam kategori tersebut boleh bersaing secara sihat dengan peserta yang lain.

Adalah tidak adil untuk menyamaratakan penyertaan peserta veteran yang rata-ratanya berusia 50 tahun ke atas dengan pelari atau peserta yang berusia dibawah 50 tahun.

“Sudah pasti apabila mencapai peringkat usia yang lebih berumur, tahap kecergasan individu semakin menurun. Begitu juga dengan penyediaan kategori lima kilometer yang mensyaratkan penyertaan usia minima ialah kanak-kanak berusia lima tahun ke atas.

“Kanak-kanak tersebut perlu dipantau oleh ibu bapa mereka, dalam erti kata yang lebih tepat ialah, ibu bapa juga digalakkan menyertai larian ini bersama-sama anak masing-masing,” tambah Riduwan lagi mengenai penganjuran larian ATM HalfMarathon ini.

Selain itu, Riduwan juga menasihatkan kepada para peserta agar datang lebih awal ke lokasi pelepasan ATM HalfMarathon di Bandar Tentera Darat, Port Dickson.

Untuk mengetahui perkembangan dari masa ke masa layari laman sesawang www.halfmarathon.com atau ikuti perkembangan terkini larian ini di instagram @atmhalfmarathon dan Facebook (atmhalfmarathon).

Sumber : Utusan 

Related Posts