Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2017 jamin keselesaan

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Lokasi Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 diubah ke Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bagi memastikan pengamal media mendapat ruang kerja lebih kondusif ketika membuat liputan.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO dan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden berkata, perubahan lokasi tersebut dilakukan bagi memastikan semua yang terlibat selesa dalam membuat liputan sepanjang perhimpunan kali ini.

AHMAD ZAHID (kiri) ketika ditemuramah oleh Pengarang Media Baharu, Marhaini Kamaruddin ketika melakukan lawatan ke Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini.

“Kita menyediakan tempat atau ruang yang lebih kondusif untuk membuat liputan sempena perayaan kali ke-71 dan gendang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan dipalu bila-bila masa dari sekarang.

“Pada masa sama, saya berharap pemerhati dan pengamal media dapat melakukan liputan harian dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini.

Timbalan Perdana Menteri turut meluangkan masa melakukan lawatan ke bilik operasi setiap agensi media.

Lokasi laman media pada perhimpunan agung kali ke-71 ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila ditempatkan di Dewan Tun Razak di aras empat berhampiran Dewan Merdeka berbanding di aras bawah.

Ini kerana Dewan Tun Razak menyediakan ruang dalaman yang lebih luas, kemudahan elektronik dan komunikasi selain bilik sidang akhbar serta surau bagi memberikan keselesaan kepada petugas di sepanjang penganjuran perhimpunan.

Dianggarkan seramai 1,795 pengamal media daripada 62 agensi terdiri daripada media tempatan dan antarabangsa akan berkampung kira-kira lima hari bagi memberikan liputan semasa dan menyeluruh mengenai perhimpunan agung tahunan parti keramat orang Melayu ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh. – UTUSAN ONLINE

Related Posts