‘Kami baru sebulan kenal’ – Nabila Razali

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali enggan mempedulikan kontroversi berikutan perkongsian gambar dia dan pelakon, Aedy Ashraf di laman Instagram, baru-baru ini.

Nabila juga tidak mahu terbawa-bawa dengan pandangan ragu-ragu dan ‘hukuman’ netizen ke atasnya termasuk kononnya dia suka ‘berdrama’ dan menagih publisti murahan.

“Terpulang apa orang nak kata. Niat saya hanya nak berkawan, belum ke tahap serius.

“Saya pun masih muda dan bebas berkawan dengan sesiapa. Saya suka bergambar. Cuma memang saya tutup ruangan komen gambar itu supaya netizen dan peminat bertelagah.

“Lagipun, kami baru sebulan kenal,” katanya yang pernah membintangi drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati bergandingan dengan Alif Satar.

Sejak gambar terbabit tersebar, Nabila yang popular dengan lagu Pematah Hati dituduh netizen ‘terhegeh-hegeh’ apabila berkongsi foto sedangkan Aedy dikatakan hanya berlagak biasa.

Tambah Nabila, dia mengenali Aedy melalui laman sosial sebelum berjumpa.

“Gambar yang saya muat naik itu, kali kedua kami berjumpa. Soal masa depan itu antara kami, biarlah masa menentukan persoalan ini,” katanya yang masih melunaskan baki penggambaran drama Matahari Terang Lagi.

Ditanya mengenai Aedy, Nabila menyifatkan pelakon kacak yang mencipta nama sejak zaman kanak kanak lagi itu bersikap matang.

“Aedy lelaki budiman, periang dan senang diajak berbual. Sebab itulah saya selesa berkawan dengannya,” katanya. – BH

Related Posts