Izreen sudah tak peduli

KUALA LUMPUR: Pelakon, Izreen Azminda, 33, berkata, tindakannya menutup ruangan komen di laman sosial, Instagram berkesan apabila mindanya tidak lagi diracuni komen negatif netizen.

Izreen yang hidup bermadu selepas bernikah dengan pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 30, pada 8 Ogos lalu berkata, dia juga tidak lagi mengendahkan cakap orang luar yang cuba mengganggu keharmonian rumah tangganya.

Mengakui bahagia dengan jalan hidup yang dipilih, Izreen berkata, kekuatan suaminya berdepan kecaman menjadi pembakar semangat untuk dia terus mempertahankan perkahwinan mereka.

“Lebih baik saya berdiam diri dan pekakkan telinga daripada ambil tahu apa orang cakap. Saya tidak mahu fokus terganggu hingga menjejaskan kerja dan tanggungjawab sebagai isteri.

“Hidup saya lebih tenang apabila menutup ruangan komen di Instagram. Saya juga mengelak daripada membaca blog hiburan. Jika ada kawan yang berkongsi capaian blog yang menyiarkan cerita rumah tangga saya, saya tidak akan buka.

“Saya malas ambil tahu kerana cakap negatif orang luar hanya akan menjejaskan mood saya untuk bekerja,” katanya.

Bakal muncul dengan drama, Aksara Kasih Ayah dan Orang London Balik Kampung, Izreen berkata, perkahwinannya dan Ude dibina bukan berlandaskan wang, sebaliknya atas dasar cinta.

“Kalau saya berkahwin kerana duit, lebih baik saya ambil lelaki kaya. Alhamdulillah, saya masih mampu mencari rezeki. Ini soal cinta dan saya menyayangi suami dengan ikhlas serta sepenuh hati.

“Orang boleh bercakap apa sahaja kerana mereka tidak berada di tempat saya. Siapa yang mahu dicemuh kerana berkahwin dengan suami orang? Tetapi, ini soal jodoh dan saya terima apabila ditakdirkan hidup bermadu,” katanya.

Izreen sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Riza pada 2012 dan dikurniakan seorang anak, Muhammad Adrian Umar, 5. Perkahwinan itu bagaimanapun, hanya bertahan dua tahun.

Ditanya mengenai kerjaya lakonannya, Izreen berkata, rutin hariannya tetap sibuk dengan jadual penggambaran sehingga bulan depan.

“Kehidupan kami sangat bahagia. Hidup saya lebih teratur sejak berumah tangga. Jika dahulu, saya tidak kisah hanya makan sekali sehari, tetapi sekarang saya perlu mengutamakan keperluan suami.

“Sebelum keluar rumah, saya akan siapkan sarapan. Jika ada kelapangan apabila penggambaran lewat, saya sediakan sekali makan tengah hari. Alhamdulillah, suami tidak cerewet dan akan makan apa sahaja yang dimasak,” katanya. – BH

Related Posts