Ingatan Mus May masih kabur

Menurut Mus atau nama sebenarnya Mustafa Din berkata, dia masih mengambil masa untuk mengingat semula beberapa perkara terutamnya melibatkan rakan-rakannya sebelum ini.

“Saya sampai lupa nama rakan-rakan saya. Kalau jumpa berdepan itu, memang kena ambil masa jugalah untuk ingat semula walaupun sebelum ini sudah sering berjumpa.

“Kalau saya masuk studio saya untuk pasang alat-alat muzik pun saya dah lupa nak dicucuk ke mana. Mujur ada pembantu di studio yang tahu nak menguruskan alat muzik dan teknikal di studio.

“Kebanyakannya perkara setahun hingga dua tahun lalu pun sudah banyak yang saya tak ingat,” luah Mus kepada UTUSAN ONLINE selepas selesai membuat persembahan di Sound Valley Festival 2017, di Serdang, semalam.

Tambah Mus lagi, doktor sudah memberitahu bahawa kehilangan sebahagian ingatan ini adalah kesan daripada rawatan sewaktu dia dikomakan dan akan berlanjutan selama enam bulan.

Buat masa ini, dia hanya perlu menunggu selama tiga bulan lebih sahaja lagi sebelum ingatannya kembali pulih sepenuhnya.

“Saya dikomakan dan doktor beritahu memang akan beri kesan pada ingatan saya. Buat masa sekarang, saya ikut sahaja arahan doktor untuk makan ubat dan menjaga pemakanan,” katanya.

Selepas menjalani rawatan dialisis selama 16 kali, fizikal Mus kini sudah nampak begitu positif. Dia kini perlu memakan ubat sebanyak tujuh ke lapan biji sekali makan.

Di sebalik kehilangan sebahagian ingatan itu, Mus bersyukur kerana dia masih boleh bekerja dan sudah mula mendapat undangan nyanyian.

“Alhamdulillah, saya masih boleh bekerja dan mampu mengingati setiap lirik lagu May dengan baik. Mungkin sebab dah bertahun saya menyanyi lagu-lagu May,” jelasnya. – UTUSAN

Related Posts