Ibu durjana dijel 75 tahun

‘IBU Durjana’ yang melacurkan dua anak perempuannya kepada lelaki warga asing dihukum penjara 75 tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, hari ini.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 39 tahun mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan melakukan perbuatan terbabit.

Berdasarkan lima kertas pertuduhan, ibu tunggal itu yang mempunyai pemeliharaan dan hubungan amanah sebagai ibu kandung kepada remaja perempuan 13 tahun didakwa menganiaya dari segi seks dengan cara melacurkan mangsa.

Manakala, bagi lima lagi pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan sama ke atas seorang lagi anaknya iaitu kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Semua perbuatan itu dilakukan antara 9.25 pagi, 1 Oktober lalu hingga 12.21 tengah hari, 7 Oktober lalu, di hotel bajet di Larkin Perdana, Johor Bahru.

Pendakwaan bagi semua perbuatan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, wanita yang tidak bekerja itu kelihatan tenang dan memohon hukuman denda sahaja memandangkan mempunyai dua lagi anak berusia 4 dan 5 tahun di bawah jagaannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh yang dianggap amat serius.

Beliau berkata, sebagai ibu kandung, tertuduh sepatutnya memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak dan bukan sahaja menjaga kebajikan tetapi juga keselamatan mereka.

“Mengikut keterangan impak mangsa, ternyata kedua-dua mereka trauma dengan kejadian ini. Mohon hukuman yang bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh, tetapi buat semua masyarakat atau ibu bapa yang lain,” katanya.

Hakim yang turut menasihatkan tertuduh supaya insaf dan bertaubat itu kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan pertuduhan yang sama tarikh berjalan serentak, manakala yang lain dilaksanakan selepas tamat hukuman sebelumnya.

Mengikut fakta kes, pihak sekolah kepada remaja 13 tahun itu ada menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang menyatakan mangsa dijual ibunya kepada lelaki warga asing dan oleh kerana mangsa sudah tidak hadir ke sekolah selama 18 hari, pihak sekolah berasa curiga sebelum memaklumkan kepada polis.

Polis kemudian membuat tangkapan terhadap tertuduh di rumah di Senai pada 25 Oktober lalu selepas wanita yang tidak bekerja itu memberitahu pernah beberapa kali membawa dua anak perempuannya itu ke hotel bajet berkenaan untuk dilacurkan kepada dua lelaki warga Bangladesh.

Perbuatan itu membolehkan tertuduh menerima bayaran RM50 bagi setiap anak, manakala mangsa akan menerima bayaran RM1, RM5, RM10 dan RM20. – metro

Related Posts