Hukuman mati Ke Atas Dua Pengikut ‘Tuhan Harun’ Dikekalkan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas dua pengikut Tuhan Harun kerana membunuh ketua penolong pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada 2013.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata hukuman mati adalah wajar dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Sumustapha Suradi, 43, dan Shamsinar Abdul Halim, 41.

Beliau berkata, insiden itu adalah satu tragedi yang menyedihkan apabila perayu (Sumustapha Suradi dan Shamsinar) menerima arahan daripada seorang yang mengamalkan ajaran sesat untuk menghapuskan pegawai dari jabatan agama yang menjalankan tugas di bawah undang-undang.

“Kami telah mencapai keputusan sebulat suara. Kami berpendapat bahawa berdasarkan keterangan yang dikemukakan pada perbicaraan, terdapat bukti yang mencukupi untuk membuktikan pertuduhan ke atas kedua-dua perayu,” kata Mohd Zawawi.

Beliau berkata, mahkamah telah mengkaji isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak pembela termasuk kredibiliti saksi-saksi dan isu-isu berhubung saksi-saksi pihak pendakwaan yang memberi keterangan adalah rakan sejenayah.

Mohd Zawawi berkata, tiada alasan yang munasabah untuk meragui keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi dan mahkamah mendapati bahawa keterangan rakan-rakan sejenayah terhadap kedua-dua perayu disokong dengan keterangan daripada saksi-saksi bebas.

Beliau berkata, pemahaman yang betul tentang agama terutama berkaitan “akidah” adalah penting dan menambah jika pemahaman tentang agama tidak kukuh, ramai akan terpengaruh dengan ajaran sesat yang boleh mengancam keselamatan negara dan pegawai yang menjalankan tugas mereka.

Mahkamah yang juga disidangi oleh Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang dengan sebulat suara menolak rayuan kedua-dua mereka terhadap sabitan dan hukuman mati.

Mustapha Suradi dan Shamsinar, yang memakai pakaian penjara berwarna merah dan putih kelihatan tenang apabila keputusan dibacakan.

Mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2016 yang mensabitkan dan menjatuhi hukuman mati ke atas mereka kerana membunuh ketua penolong pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIP, Ahmad Raffli Abd Malek, 49, yang ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pada 10 Nov, 2013.

Ketua ajaran sesat itu, Harun Mat Saat, yang mendakwa dirinya sebagai “Tuhan Harun”, juga dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu.

Bagaimanapun, pertuduhan ke atas Harun digugurkan pada 26 Ogos, 2016 selepas dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 16 Ogos, 2016 akibat masalah pernafasan, lapor Bernama

Peguam Iskandar Shah Ibrahim, Hermes Media Putra Ibrahim dan Mohammad Naim Mahmud mewakili kedua-dua perayu sementara timbalan pendakwa raya Wong Poi Yoke mewakili pihak pendakwaan. – suaraTV

Related Posts