Dakwaan Tok Mat rumitkan keadaan

KUALA LUMPUR: Bekas pemain negara, Rommi Suhendra Norsal berpandangan kemelut membabitkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak mampu diselesaikan dengan kadar segera seandainya mereka terus menuding jari kepada pihak lain.

“PSM perlu bertindak lebih bijak, duduk berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“PSM menunjukkan sikap kebudak-budakan apabila mengatakan ada dalang (mahu menjatuhkan Presiden PSM),” jelas bekas tekong negara itu.

Rommi berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail bahawa terdapat pegawai MSN yang berkomplot mahu menjatuhkannya.

“Sekiranya cara ini yang dilakukan PSM, pastinya kemelut yang berlaku akan lebih lambat diselesaikan. Masyarakat dan semua penggiat sepak takraw pastinya akan terus menyalahkan PSM kerana berpendapat mereka bukan mencari jalan penyelesaian, malah terus menambahkan masalah yang ada.

“PSM perlu bangkit berubah seperti pernah saya katakan sebelum ini dalam segala aspek dan berani sahut cabaran Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam membuat sesuatu dalam tempoh diberikan. ”

“Buktikan sepak takraw mampu untuk ditempatkan kembali dalam sukan teras bukan terus mencari kesilapan kesalahan pihak lain,” tambahnya.

Hubungan tegang PSM dan MSN bermula apabila sepak takraw digugurkan daripada sukan teras kendalian badan berkenaan selain diputuskan tidak dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

PSM membuat keputusan untuk menolak perbincangan dengan MSN dan sedang menanti tarikh sesuai bertemu Khairy. – BH

Related Posts