China gantung semua penerbangan dari Bali

SHANGHAI: Pihak berkuasa penerbangan China menggantung semua penerbangan dari Bali ke bandar raya di negara itu sehingga ancaman debu gunung berapi berakhir, lapor akhbar People’s Daily.

Abu Gunung Berapi Agung mengganggu penerbangan keluar dan masuk lapangan terbang pulau peranginan itu minggu lalu, menyebabkan ribuan pelancong terkandas.

Penerbangan disambung apabila lapangan terbang dibuka semula Rabu lalu, selepas perubahan angin dan meniup abu jauh daripada laluan penerbangan.

Penerbangan individu membuat keputusan sendiri sama ada untuk beroperasi.

Pesawat Jetstar dari Australia menyambung semula perkhidmatan ke Bali semalam, manakala syarikat penerbangan Virgin Australia Holdings Ltd berkata, ia akan berbuat demikian hari ini.

Di sebalik penyambungan semula beberapa perkhidmatan, pihak berkuasa penerbangan China menghentikan penerbangan selepas pesawat sewa terakhir tiba semalam, membawa 15,237 pelancong China yang terkandas, lapor akhbar berkenaan di laman Twitternya.

“Pihak berkuasa penerbangan China menggantung semua penerbangan dari Bali ke bandar raya di China sehingga ancaman abu gunung berapi berakhir,” katanya.

Syarikat China Eastern Airlines dan China Southern Airlines yang menghentikan membawa pelancong ke Bali minggu lalu memberitahu sambungan semula penerbangan bergantung kepada keadaan. – Reuters

Related Posts