CCTV canggih dipasang di 200 lokasi dalam tempoh 24 bulan – TPM

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Pendigitalan aset dan operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam konsep kepolisan moden bakal dilaksanakan dalam tempoh 24 bulan selepas penilaian penuh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, konsep tersebut menyaksikan kamera litar tertutup (CCTV) pengesanan automatik berdefinisi tinggi dipasang di kira-kira 200 kawasan titik panas (hotspot) di seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata, PDRM telah selesai menjalankan pembuktian konsep (POC) selama dua bulan di tiga kategori kawasan seperti perlakuan jenayah kerap, pusat pengedaran dan penagihan dadah serta kawasan kemalangan.

“Sebarang pelakuan jenayah akan dipantau dan diikuti oleh kamera tersebut sekali gus membantu pihak berkuasa khususnya PDRM menjejaki pejenayah selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Penggunaan aset ini harus dilakukan segera kerana kita tidak mahu ketinggalan. Ini kerana CCTV sedia hanya merakam visual secara statik tetapi kamera yang baharu mampu menjejak penjenayah dalam tempoh singkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Inovasi Huawei Asia-Pasifik 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, pemasangan CCTV pengesanan automatik berdefinisi tinggi akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun ini yang melibatkan pelbagai agensi keselamatan.

“Selepas melalui percubaan selama dua bulan, kita sedang menunggu laporan keberhasilan POC sebelum mengemukakan kepada pemandu.

“Ini turut melibatkan dua aspek seperti penggunaan teknologi dan pakej kewangan yang diperlukan untuk tempoh sederhana dan panjang,” ujarnya. – UTUSAN

Related Posts