Ben Nathan tunggu tiga bulan lagi | My Malaysian Post

Ben Nathan tunggu tiga bulan lagi

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1980-an, Ben Nathan, 54, perlu menanti tiga bulan lagi untuk memulakan proses rakaman single baharu ciptaan komposer Indonesia seperti pernah dijanjikan Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M).

Presiden YA1M, Datuk DJ Dave berkata, ketika ini, penyanyi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati itu sudah beberapa kali menjalani latihan vokal, selain perlu sihat sepenuhnya sebagai persediaan kembali ke studio rakaman.

“Tahap kesihatan Ben (Nathan) sudah lebih 85 peratus pulih sejak keluar dari hospital, pertengahan tahun lalu. Dia masih mengambil ubat dan menjalani rawatan susulan di hospital setiap bulan.

“Melihat perkembangannya, saya dan Datuk Jojo dari Jojo Events yakin Ben dapat memulakan rakaman dalam tiga bulan lagi. Keluarganya juga mahu Ben pulih sepenuhnya sebelum kembali aktif.

“Saya nampak banyak perubahan pada tona suaranya selepas beberapa kali latihan di pejabat YA1M. Kali terakhir Ben datang dua minggu lalu dan memang nampak peningkatan pada mutu suaranya,” katanya kepada BH Online.

Awal tahun lalu, kisah Ben menjadi tular selepas rakaman video dirinya dalam keadaan tidak terurus dimuat naik beberapa individu di YouTube.

Hasil pujukan Dave, penyanyi itu bersetuju untuk menjalani rawatan di hospital dan kini dilaporkan semakin pulih.

Dave berkata, kerja rakaman hanya akan dijalankan di sini di atas permintaan Ben, walaupun sebelum ini penyanyi itu pernah menyuarakan keinginan terbang ke Jakarta, Indonesia.

“Kami akan ikut permintaannya dan menjalankan proses rakaman di sini. Cuma, lagu sahaja menggunakan khidmat komposer negara jiran. Kami yakin single baharu itu akan mengulangi kegemilangan Stanza Sepi Sekeping Hati.

“Ben juga teruja ketika membawakan lagu itu pada sesi latihan. Melodi dan lirik juga sudah diperkemaskan. Apa yang boleh saya katakan, lagu yang belum diberi judul itu sangat menyentuh emosi dan istimewa,” katanya lagi. – BH

Related Posts