Bantu wanita dengan perkasa ekonomi digital

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharapkan dapat memberi perhatian terhadap usaha memperkasakan ekonomi digital bagi membantu lebih ramai wanita menguasai perniagaan secara dalam talian menerusi pembentangan Bajet 2018.

Langkah itu disifatkan perlu dan kena dengan masanya berikutan perkembangan perniagaan dalam talian yang semakin banyak diceburi wanita, seiring dengan kepesatan teknologi digital yang menjadi sebahagian cara hidup masyarakat moden hari ini.

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz, berkata selain menjadi penyumbang besar belanjawan rumah tangga, golongan terbabit juga perlu diberikan lebih banyak sokongan dan pembelaan sewajarnya dalam bidang ekonomi.

“Mereka turut menyumbang dalam pembangunan ekonomi negara, jadi perlu ada mekanisme tertentu untuk babitkan penyertaan mereka secara bersama.

“Mungkin kerajaan boleh sediakan lebih banyak peruntukan untuk golongan peniaga dalam talian ini mendapatkan bantuan peralatan seperti komputer riba dan telefon pintar.

“Jika kita boleh bagi bantuan seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) kenapa tidak kepada wanita yang mahu memulakan perniagaan dalam talian ini,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Norhimah berkata, biarpun kerajaan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut menyediakan latihan dan kemahiran untuk memulakan perniagaan dalam talian, ia tidak memadai jika tidak disertakan dengan kemudahan peralatan sokongan.

“Bukan hanya membabitkan kemudahan dan penambahan gajet tetapi juga perlu ada penekanan terhadap menambah baik sistem rangkaian talian terutama di kawasan luar bandar kerana mereka juga semakin menunjukkan minat dalam perniagaan dalam talian.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (Witus), Sheila Tukiman pula melihatkan kepentingan menyediakan perancangan lebih terperinci dalam menyediakan bantuan khusus untuk wanita terutama ibu tunggal yang berpendapatan rendah.

Katanya, bantuan yang diberikan juga diharapkan lebih baik daripada yang pernah diberikan dalam bajet terdahulu berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat, menjadi bebanan bagi ibu tunggal untuk menyara keluarga.

“Mungkin perlu diwujudkan satu program kemahiran percuma dalam usaha melengkapkan diri kami bagi menjana pendapatan keluarga.

“Berdasarkan pengalaman ibu tunggal, mereka tidak dapat menyertai program kemahiran berniaga disebabkan caj yang dianggap membebankan kerana kebanyakan kami mendapat wang sara hidup menerusi bantuan zakat dan Baitulmal.

“Jadi sepatutnya golongan yang tidak mampu ini diberikan program latihan dan kemahiran secara percuma dengan pemantauan oleh kerajaan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mereka sertai,” katanya.

Kerajaan juga perlu bersikap lebih peka terhadap pertubuhan yang aktif menjalankan kerja kemasyarakatan dan kebajikan supaya lebih banyak bantuan dan dana dapat salurkan kepada mereka untuk meneruskan aktiviti.

Related Posts