Bagaikan menginap di dalam gua

MENYUSURI keindahan Inap Desa Kampung Ujung Bukit, Jalan Kurong Batang, Kangar, Perlis memberi persepsi baharu perihal keindahan kampung.

Menariknya, batuan bukit dan gua merupakan antara binaan 18 calet Ujung Bukit yang mampu memberi nostalgia baharu kepada pengunjung.

Malah, penggunaan kayu cengal, meranti dan nyatoh merupakan antara ‘resipi’ kesemua 18 calet itu kekal utuh.

Menurut Penyelaras Inap Desa Kampung Ujung Bukit, Mohd. Amin Abdul Salam, 54, gabungan batuan bukit dan gua itu terdapat di beberapa bahagian calet seperti di ruang balkoni, bilik air malah ruang utama.

“Situasi ini sengaja diwujudkan bagi memastikan penginap calet merasai pengalaman seperti menetap di dalam bukit atau gua.

“Cuaca sejuk dan dingin dirasai dengan perlindungan pokok-pokok hutan yang bebas daripada hiruk-pikuk dan kesibukan bandar,” katanya.

Memancing antara aktiviti yang ditawarkan kepada pengunjung.

 

Gua semula jadi

Selain itu, terdapat gua kecil yang membolehkan penginap merasai pengalaman memasuki kawasan itu yang gelap sambil ditemani bunyi serangga yang mengasyikkan.

Tutur Mohd. Amin, gua kecil campuran semula jadi dan buatan itu turut dibina tangga serta lampu hiasan bagi memudahkan akses pengunjung.

Inap Desa Ujung Bukit menawarkan 12 inap desa dan 18 calet untuk keselesaan pengunjung.

Selain itu, kemudahan surau, dewan dan kantin untuk kegunaan pengunjung secara individu atau berkumpulan sentiasa menanti kehadiran pengunjung.

Kata Mohd. Amin, idea asal kewujudan inap desa itu merupakan cetusan bekas ketua kampung iaitu Allahyarham Halim Jalil.

“Allahyarham Halim melihat Kampung Ujung Bukit berpotensi untuk dimajukan kerana keindahan semula jadinya yang unik iaitu bukit bukau, gua dan sawah,” ujarnya.

Kata lelaki yang murah dengan senyuman itu, kampung berkenaan dikatakan mendapat namanya kerana kedudukannya yang terletak di hujung tiga bukit sekitar Kangar, Perlis.

“Majoriti 155 keluarga kampung ini mengusahakan tanaman sawah padi dan selebihnya berniaga.

“Kekurangan industri berat dan sederhana di Perlis menyebabkan majoriti rakyat negeri ini bekerja sebagai pesawah. Bagaimanapun, taraf kehidupan mereka lebih baik berbanding sesetengah mereka yang menetap di bandar.

“Salah satu kelebihan penduduk kampung ialah mereka tidak perlu membayar sewa rumah, cukai pintu dan cukai pembetungan selain kadar bil utiliti yang berpatutan,” katanya.

Mohd. Amin memberitahu, hampir seluruh kediaman di Perlis mempunyai sekurang-kurangnya satu alat pendingin hawa.

Kemudahan alat pemanas air disediakan di bilik mandi ini diperbuat daripada bahan yang berasaskan batu kapur.

 

Kadar

“Panas terik terutama semasa fenomena Angin Timur yang biasanya berlaku pada bulan Disember hingga Mac setiap tahun antara cabaran.

“Namun, pada waktu malam, sejuknya terasa hingga ke tulang. Itulah keunikan Perlis,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Inap desa Kampung Ujung Bukit, Ab. Karim Saad, 61, berkata, kadar penginapan inap desa dan calet bermula dari RM90 hingga RM160 semalam.

“Setakat ini, terdapat lebih 200 pelancong antarabangsa menetap di sini seperti Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Singapura dan Arab Saudi.

“Segala pendapatan inap desa ini untuk kegunaan penduduk kampung,” katanya.

Tarikan Inap Desa Kampung Ujung Bukit tidak terhenti begitu sahaja kerana tetamu dapat merasai pengalaman memancing pelbagai spesies ikan seperti ruhu, tilapia, keli dan puyu di kolam ikan yang disediakan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Ujung Bukit, Ramli Awang, keistimewaannya ialah pengunjung menggunakan batang pancing yang buluh.

“Umpannya seperti dedak, roti atau nasi yang tidak habis dimakan. Sebaik sahaja umpan diletakkan, ratusan ikan akan merebutnya.

“Lebih istimewa, pengunjung yang berjaya mendapat habuan ikan boleh meminta kepada pihak pengurusan untuk memasak ikan itu mengikut menu yang diingini dengan caj tertentu.

“Selain itu, mereka juga boleh memberi makan ikan bersama anak-anak selain mandi di kolam yang bersih dan jernih airnya,” katanya.

Inap desa itu turut menawarkan pakej makanan tradisional dan ulam-ulaman segar seperti asam pedas keladi, kari daging dengan rebung, sambal belacan dan ulam-ulaman seperti pucuk pegaga, pucuk betik dan ulam raja. Ramli menambah, pada bulan April dan Ogos, pengunjung yang menginap di inap desa itu dapat merasai pengalaman bermain traktor pembajak sawah secara percuma.

“Mereka boleh berlumba di sekitar tapak sawah iaitu menggunakan dua buah traktor.

“Malah, pengunjung dapat menimba pengalaman menabur benih padi di sawah yang menggunakan air hujan untuk mengairi kawasan ini,” katanya.

Sumber : Kosmo

Related Posts