Amah profesional pakaian seragam ala telenovela

KUALA TERENGGANU: Siapa sangka imej pembantu rumah profesional yang memakai uniform, mempunyai perwatakan menarik dan bekerja dengan sistematik seperti yang sering ditampilkan dalam telenovela luar negara sebenarnya wujud di Terengganu.

Pekerjaan itu diiktiraf sebagai ‘Home Manager’ (pengurus kediaman) bagi memartabatkan imej wanita yang menyertai sektor ini.

Tidak dinafikan mereka mempunyai kecekapan dalam pelbagai urusan rumah tangga ekoran diberi latihan secukupnya dari semasa ke semasa.

Lebih istimewa, mereka tidak perlu bermalam di rumah majikan seperti kebiasaan rutin pembantu rumah konvensional.

Mereka hanya bekerja mengikut waktu pejabat sahaja atau waktu yang sesuai selepas berunding dengan majikan.

Program khas hasil idea Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman itu mula diperkenalkan sejak tiga tahun lalu dan mendapat sambutan luar biasa di seluruh negeri ini, malah menjadi inspirasi kepada negeri lain.

‘Home Manager’ ini akan menerima gaji RM1,000 sebulan, dilindungi insurans dan mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) malah bagi mempromosi program ini, kerajaan negeri turut membantu majikan dengan memberi subsidi RM200 sebulan pada tiga bulan pertama.

Antara majikan bertuah yang menyertai program itu ialah Ahmad Huzairi Ali, 36, dan isterinya Majdah Yusof, 34, dari Manir, Kuala Terengganu.

Mengimbas semula kenangan tiga tahun lalu, Ahmad Huzairi berkata beliau pernah mengalami masalah kerana mendapat pembantu rumah yang tidak serasi bekerja dalam tempoh yang lama terutama dalam hal penjagaan anak sulungnya yang berusia tujuh tahun yang menghidap Cerebral Palsy.

Beliau pernah menggunakan khidmat beberapa pembantu rumah orang tempatan sebelum ini, namun kebanyakannya tidak kekal lama dan berhenti dalam masa yang singkat sahaja kerana masalah peribadi.

Ahmad Huzairi akhirnya nekad mahu mengambil pembantu rumah warga Indonesia dan bersedia mengeluarkan wang RM18,000 untuk tujuan itu.

“Namun, selang beberapa hari kemudian, saya terbaca mengenai satu program yang baru diperkenalkan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) iaitu pengurus kediaman.

“Program itu bertujuan membantu majikan mendapatkan khidmat pembantu rumah yang terlatih dan profesional iaitu produk YPKT,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

“Saya sangat bersyukur apabila calon yang disaran YPKT iaitu Nur Farhani Alias bersetuju untuk bekerja dengan saya dan menjaga dua anak saya terutama anak istimewa saya, Ahmad Thaqif Amzar,” katanya memulakan bicara.

Nur Farhani, 24, memulakan tugas di rumahnya pada 1 September 2015 dan beliau mengakui kecekapan Nur Farhani dalam menjaga serta menguruskan keperluan anak istimewanya itu.

“Bila kawan-kawan dan saudara mara datang berkunjung ke rumah, mereka juga tertarik dengan konsep yang dilaksanakan YPKT ini dan setakat ini, lima kawan saya sudah mendapatkan khidmat pengurus kediaman dari YPKT setelah mengalami pelbagai masalah dengan pembantu rumah mereka sebelum ini,” katanya.

Bagi Nur Farhani pula, beliau semakin selesa bergelar pengurus kediaman kerana waktu kerja yang lebih fleksibel, gaji yang lumayan dan majikan yang sangat memahami dirinya bagaikan keluarga sendiri.

Sebelum ini beliau bekerja di pasar raya dan mempunyai jadual kerja syif yang kadangkala menyebabkannya tidak mempunyai rehat yang cukup malah gaji hanya ‘cukup makan’.

“Sehinggalah saya terbaca iklan mengenai pengambilan pengurus kediaman di YPKT, saya tergerak hati mahu memohon pekerjaan itu kerana tertarik dengan inisiatif dan pelbagai kemudahan yang disediakan,” katanya yang perlu menjalani kursus asas selama 10 hari anjuran YPKT sebelum bekerja.

Nur Farhani tidak menafikan pada peringkat awal, beliau agak kekok menjaga kanak-kanak istimewa itu, namun berkat sokongan keluarga Ahmad Huzairi dan belajar kaedah penjagaan yang betul, beliau mula seronok dan tercetus perasaan sayang.

NUR Farhani menjaga anak majikannya, Ahmad Thaqif ketika ditemui di Manir baru-baru ini. Nur Farhani memulakan tugas sejak 1 September 2015 dan majikannya mengakui kecekapannya dalam menjaga serta menguruskan keperluan anak istimewanya itu. – Foto BERNAMA

“Mulanya saya menjaga Ahmad Thaqif hanya sekadar menunaikan tugas sahaja, lama-kelamaan timbul perasaan sayang kepadanya.

“Saya ikhlas menjaga makan minumnya dan berusaha menggembirakan dia sepanjang ketiadaan ibu bapanya ketika keluar bekerja.

“Suami saya, Mohamad Arif Hafizan juga sentiasa memberi sokongan moral untuk saya memberi perkhidmatan terbaik di rumah ini.

“Pastinya pekerjaan ini adalah ‘universiti kehidupan’ saya dalam mengejar cita-cita membuka taska khas untuk kanak-kanak istimewa senasib Ahmad Thaqif,” katanya. – BERNAMA

Related Posts