ADUN DAP dipanggil beri keterangan

JOHOR BAHRU 6 Dis. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Shu Qi dipanggil polis bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan ucapannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Beliau diminta tampil ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Jumaat ini.

Shu Qi yang juga wakil rakyat DAP berkata, pihak polis telah menghubunginya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya telah diminta hadir ke IPK Johor pada Jumaat ini pada pukul 4 petang. Saya akan hadir ditemani peguam, Gobind Singh Deo.

“Saya percaya (dipanggil) berkaitan ucapan yang dibuat saya sebagai seorang ADUN pada sidang DUN Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Menteri Besar, Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan penggulungannya pada sidang DUN kelmarin, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan rasuah yang diterimanya seperti terkandung dalam dokumen siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes rasuah dan skandal hartanah melibatkan bekas Exco negeri ini yang dimuat naik oleh sebuah blog dan dibangkitkan Shu Qi sebelum itu.

Pada 27 November lalu, Shu Qi, diarah keluar dari Dewan selepas enggan menarik balik kenyataan yang dikeluarkan ketika membahaskan Bajet Johor 2018 mengenai kesahihan maklumat dalam dokumen yang disiarkan blog berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Related Posts